HAL HAL BERKAITAN KEMATIAN
Kematian adalah suatu perkara yang pasti berlaku. Maka,
Islam mengajarkan kita tiga perkara utama apabila ada kaum kerabat kita yang
meninggal dunia:
Menguruskan urusan pengebumian jenazah.
Membayar hutang-hutang si mati, samada hutang dengan Allah
seperti puasa, haji yang belum terlaksana, nazar yang belum dilaksana dan
sebagainya. Selain itu, hutang dengan manusia seperti hutang duit atau
mengembalikan amanah yang diletakkan di atas tanggungjawab si mati.
Menyempurnakan wasiat dengan mengambil satu
pertiga daripada hartanya.
Membahagikan harta pusaka.
Oleh itu, berdasarkan di atas, kami akan memperincikan
daripada kewajipan kedua yang disebutkan
di atas bagi menjawab persoalan yang diajukan.
Permasalahan ini memerlukan pemahaman dalam beberapa
perkara. Antaranya:
Yang pertama, solat adalah suatu
ibadat yang disyariatkan kepada setiap individu, dan tidak dibolehkan untuk
dilakukan oleh orang lain. Begitulah juga halnya selepas seseorang itu
meninggal, tidak boleh untuk mengantikan solat yang ditinggalkan. Inilah
pendapat jumhur ulama terhadap masalah ini. Rujuk Hasyiah Rad al-Mukhtar
(2/79), I’anah al-Thalibin (1/33)
Firman Allah SWT:
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ﴿٣٩﴾ وَأَنَّ سَعْيَهُ
سَوْفَ يُرَىٰ ﴿٤٠﴾ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ
Maksudnya: "Bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan)
bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa
sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari akhirat
kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat
sempurna".
(Surah al-Najm: 39-41)
Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini menyebut bahawa
di sisi ahli ta’wil ayat ini adalah muhkam, tidak boleh seseorang melakukan
amalan untuk yang orang lain, dan mereka berijma’ bahawa tidak boleh seseorang
melakukan solat untuk orang lain. Lihat al-Jami’ li Ahkam Al-Quran (17/114)
Yang kedua, puasa yang
ditinggalkan oleh si mati mempunyai dua keadaan sepertimana disebut dalam kitab
Mughni al-Muhtaj (1/438) dan Bidayah al-Mujtahid (1/290):
Keadaan yang pertama sekiranya si mati tidak sempat
menggantikan puasa, sama ada kerana kesempitan waktu, uzur disebabkan sakit
atau bermusafir atau hal lain yang menghalang dari berpuasa, maka disisi ulama’
tidak ada sebarang tanggungjawab kepadanya atau warisnya untuk menggantikan
puasa.
Sekiranya si mati meninggalkan puasa dan tidak menggantikan
ketika kesempatan yang ada dalam hidupnya, maka dalam hal ini para fuqaha’
mazhab Syafie meletakkan dua keadaan: i) Boleh untuk warisnya berpuasa untuk si
mati hal ini berdasarkan hadis yang diriwatkan oleh Aishah R.anha, bahawa Nabi
SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ
عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang meninggal dan mempunyai puasa
(yang tertunggak), maka disempurnakan oleh warisnya.
Riwayat Bukhari (1952) Muslim (1147)
Namun
bukanlah suatu kewajipan ke atas waris-waris si mati untuk menggantikan puasa
si mati. Lihat al-Majmu’ (6/ 418).
ii) Sekiranya waris-waris tidak melakukan puasa ganti maka perlu diambil
dari harta pusaka si mati dan dibayar untuk satu hari, satu cupak beras mengikut hari yang
ditinggalkan oleh si mati. Hal ini wajib dilakukan berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh Ibn Abbas:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ
أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ " لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ
قَاضِيَهُ عَنْهَا " . قَالَ نَعَمْ . قَالَ " فَدَيْنُ اللَّهِ
أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى "
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW,
lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia
mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan
untuknya? Lalu baginda berkata: “sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan
bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW:
“Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan”Riwayat Muslim (1148)
Yang ketiga, cara pengiraan bagi si mati yang tidak
memberitahu bilangan puasa yang ditinggalkannya.
Sekiranya si mati itu adalah orang yang sentiasa berpuasa,
maka tidak perlu mengandaikan bahawa dia pernah meninggalkan puasa dalam
hidupnya. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ
Maksudnya: Asal (bagi suatu perkara) adalah bebas dari
tanggungan.
Sekiranya si mati adalah orang yang sentiasa melakukan
puasa pada bulan Ramadhan, namun ketika sakit tidak dapat melakukannya, maka
dikira hari sakitnya sehingga mati sekiranya mati pada bulan Ramadhan.
Sekiranya si mati tidak pernah berpuasa sepanjang hidupnya,
maka dikira bilangan hari puasanya daripada umur baligh sehinggalah sebelum
mati.
Kesimpulan daripada apa yang kami nyatakan di
atas:
1. Apabila
berlaku sesuatu kematian hendaklah disegerakan tiga perkara yang dinyatakan di
atas.
2. Solat
tidak boleh digantikan atau dilakukan oleh orang lain samada ketika hidup atau
mati.
3. Tidak
perlu mengandaikan si mati mempunyai puasa yang tertinggal sekiranya secara
zahir, dilihat dalam hidupnya cukup puasa dan tiada meninggalkan wasiat bahawa
dia ada meninggalkan puasa.
4. Puasa
boleh diganti oleh ahli waris yang terdekat, namun sekiranya tidak diganti oleh
waris si mati, maka Wajib diambil dari harta pusaka si mati, untuk membayar
Fidyah tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan