Bab 02-Ahlul Sunnah
Ahlul Sunnah Wal Jamaah
Mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran
dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka.
Generasi paling awal dan utama di kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian
diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka.
Generasi pertama di kalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka
berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar
mutashabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah. Ini berpandukan kepada
kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 7,
“Dia lah Yang menurunkan kepadamu
(Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah
ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas
maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan
Yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang
maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang berlainan menurut kandungan
hati masing-masing) – adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan
ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa Yang samar-samar dari
Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya
menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir
maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta
mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman
kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah Yang
mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran.”
Pada zaman awal, mereka tidak
banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu
banyak berhujah tentang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan
para sarjana Islam, sahabat dan tabi’in.
Mereka itu terdiri daripada
pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat dengan mendalami ilmu agama dalam
berbagai-bagai bidang, seperti akidah yang berkaitan dengan perkaraperkara
beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun
iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada
pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai
yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada
kepalsuan. Ada yang mendalami ilmu qiraat. Ada vang sibuk dengan
perkara-perkara membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada
Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad
di medan perang mempertahankan Islam dan memerangai musuh-musuhnya. Ada yang
sibuk dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu (tatabahasa), sorof, balaghah,
sastera dan sebagainya yang menjadi alat penting bagi mempelajari agama dengan
bahasanya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka
adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.
Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan
wajibnya melantik khalifah sebagai memimpin umat dan melaksanakan hukum Allah
yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka
juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraish kerana golongan itu paling
kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah itu mesti melafazkan bai ‘ah iaitu
ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulnya.
Lafaz ikrar setia ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang
dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam
perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu
Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara itu mesti adil
daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi
ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.
Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya,
mengakui keempat-empat khalifah ar-Rasyidin adalah orang yang paling layak pada
zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam
pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa
mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah
tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh
Allah dalam al-Quran surah al- Hasyr, ayat 10,
“Dan orang-orang yang datang
kemudian daripada mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! Ampuni kami dan
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau
menjadikan dalam hati kami perasaan hasat dan dendam terhadap orang-orang yang
beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya engkau amat limpah belas kasihmu dan
maha penyayang.”
Generasi pertama ini tidak
menamakan diri mereka dengan nama-nama fahaman tertentu. Ini kerana umat Islam
pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya, para sahabat yang masih hidup
menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga berlaku pada zaman para
tabi’in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat,
sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa
sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-meleret.
Kesemua imam mazhab yang terkenal
seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hambal, Sufian as-Sauri dan
lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.
Sejarah Kemunculan Mazhab Al-Asyairah
Apabila negara Islam berkembang
luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara
topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada
beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman yang berpandukan logik.
Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau
apapun berlaku, Allah berjanji memelihara agamanya dengan melahirkan sarjana
yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana-sarjana itu adalah Imam
Abu Hasan alAsy’ari.
Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260
Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah
tirinya Abu Ali aljubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang
dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan
ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan
ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy” ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan
dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal
Jamaah.
Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli
Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan
hadis yang ada. Hujahhujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah
Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan
ramai murid dan pengikut.
Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali
sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.
Antara teori Abu Hasan al-Asy’ari
adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:
1. Ada
2. Bersedia
3. Kekal
4. Berlawanan dengan sesuatu yang baru
5. Berdiri dengan sendirinya
6. Satu
7. Berkuasa
8. Berkehendak 9. Mengetahui lO.Hidup
11. Mendengar
12.Melihat
13.Berkata-kata
Beliau juga menghuraikan perkara
taklid iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa hujah yang menguatkannya
ataupun tidak dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau menghuraikan
perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan pada rukunrukun iman.
Aliran Asya’irah ini berkembang
dengan pesatnya di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin
al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan
sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Uthmaniah dan di
daerah-daerah yang lain. Ideologi ini juga didokong oleh sarjana-sarjana di
kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Antara mereka adalah
al-Asfaraini, al -Qafal, aljarjani dan lain-lain sehingga sekarang.
Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ ari adalah
dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis
Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah
bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat
sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan
Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh
kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan
mengembangkan fahaman Asya’ irah. Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam
yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu Abdullah bin Mujahid, Abu Hasan
al-Bahili, Abu Bakar bin al-Taib al Bakilani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishak
alAsfiraini, Abu Muhammad aljuwaini, Abu Mazfir al-Asfaraini, Imam al-Haramain
aljuwaini, Hujah Islam Imam al-Ghazali, dan Imam Fakruddin al-Razi.
Imam Abu Hasan al-Asy’ari juga
meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan yang masih ada pada zaman
sekarang antaranya Al-Ibanah Min Uslul Diniati. Dalam buku ini, beliau
menyokong dengan tegas kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera
oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga
dalam buku AJ-Luma ‘ Fir Raddi ‘Ala Ahlil Zaighi wal Bid ‘i beliau mendedahkan
hujah logik dan teks. Buku Maqalatul Islamiyiin mendedahkan fahaman-fahaman
yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian
fahaman-fahaman akidah. Buku Istihsan al-Khaudhi Fil Ilmu Kalam pula adalah
risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.
Walaupun ada di kalangan sarjana
Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan
kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Asy’ ari, ia tidak menafikan jasanya
mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan
hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh iaitu membicarakan alQuran sebagai
kata-kata Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari Kiamat, membetulkan
perkara yang berhubung dengan Qadak dan Qadar dan lain-lain dan menjadi
golongan pertama yang menamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di tengah-tengah
kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.
Imam Abu Hasan Asy’ari meninggal
dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri
daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan
perjuangannya. Akhirnya, ia meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti
oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam melanda cabaran-cabaran baru
yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya aliran ini memerlukan pembaharuan lagi
dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari bagi mempertahankan akidah yang
sebenar.
Sejarah Mazhab Al-Maaturidiyyah &
Salafi Wahabbi Al-Maaturidiyyah
Di sebelah timur negara Islam
iaitu di daerah Maturid, wilayah Samarkand, lahir sarjana Islam yang bernama
Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Maturidi. Beliau lahir pada tahun
332 Hijrah. Beliau membawa aliran ideologi akidah dalam fahaman Ahli Sunnah wal
Jamaah bagi menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau adalah
sarjana Islam dalam mazhab Hanafi.
Beliau muncul di Asia Tengah pada
waktu masyarakat Islam dilanda aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah
yang sebenar. Antaranya mazhab Muktazilah, Mujasimah, Muhammad bin Karam
Sajassatani iaitu pemimpin fahaman Karamiah, Qaramitah yang dipimpin oleh
Hamdan As’ ad, Jaham bin Safuan iaitu pemimpin fahaman Jahamiah, dan ahli
tasauf Husin bin Mansur al-Halaj. Imam Abu Mansur Maturidi membawa peranan yang
besar bagi menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.
Walaupun beliau hidup sezaman
dengan mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’ ari, namun beliau mempunyai teknik
berhujah dan huraian yang berbeza. Para sarjana Islam menyatakan, Imam Abu
Mansur Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara
akidah. Ini kerana beliau merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang ditulis
oleh Imam Abu Hanifah seperti Fikh Akbar, Fikh Absat, Kitab Ilm dan sebagainya.
Terdapat beberapa perselisihan
antara Abu Mansur Maturidi dengan Abu Hassan al-Asy’ ari. Antaranya dalam isu
Makrifatullah (mengenal Allah), Abu Hassan menyatakan wajib mengetahuinya
menurut sumber agama tetapi Abu Mansur berkata wajib juga dengan berpandu
dengan akal. Dalam isu sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah dengan
sifat-sifat maknawiyah iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat Ma’ani
beserta sifat-sifat Madani. Fahaman Maturidiah mewajibkan hukum akal beserta
syarak sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana Fikah dan Hadis.
Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung Qadak dan Qadar dan lain-lain yang
berbeza dengan huraian fahaman Asya’irah.
Abu Mansur Maturidi meninggalkan
pusaka ilmu yang banyak selain membela fahaman Ahli Sunnah bagi menghadapi
pelbagai fahaman yang menyeleweng. Pusaka ilmunya adalah murid-murid yang ramai
dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara muridmuridnya adalah
Abu Ahmad Iyad, Abu Qasim Hakim Samarkandi, Abu Hussin Wastaqfani, Abdul Karim
bin Musa Inbazadari, Abu Asyimah Abi Lais Bakhari dan lain-lain. Antara
pengikut-pengikut yang meneruskan alirannya adalah Sadar Islam Abu Yasir
Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim Bazadui, Maimun bin Muhammad Nasfi yang
dianggap tokoh sarjana terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Adakala
sebahagian menganggap mereka adalah kumpulan kecil seperti Syaharsatani dalam
fahaman Asya’irah, Najmuddin Abu Hafiz Samarqandi Nasqi, Nuruddin Ahmad bin
Muhammad Syobuni, Bukamal bin Yam iaitu sarjana terbilang dalam fahaman Hanafi
dan lain-lain lagi.
Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur Maturidi adalah
buku Jadal dan Ma ‘akhiz Syarai’. Kedua-dua buku ini membincangkan Usul Fikah.
Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya, Tauhid, Muqalaat, Ra’du Ala Qawashat,
Bayan Wahm Muktazilah, Ra ‘du
Amamah Libaddu Rawafaz dan banyak
lagi. Apa yang mendukacitakan, buku-buku itu hilang begitu sahaja. Buku yang
masih tersimpan adalah buku Tauhid dan Maqalaat Selain itu ada buku-buku beliau
dalam ilmu yang lain.
Abu Mansur Maturidi juga seperti
Abu Hassan Asy’ari yang membawa pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau
memasukkan hujah-hujah logik akal semasa menghadapi perkembangan fahaman baru
yang timbul pada zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal kalangan
tabi” in termasuk imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada
hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad sahaja.
Salafiah
Selepas lahir pelbagai teori
mengenai akidah, lahir fahaman-fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik
tetapi juga menggunakan falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam
orang-orang yang mahu supaya kembali pada sumber asal sahaja. Mereka muncul
pada zaman terkini iaitu pada kurun ke tujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka adalah
daripada aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh
yang terkemuka adalah Imam Ibnu Taimiyah. Beliau dan pengikut-pengikut
menentang keras golongan yang cuba menghurai ayat-ayat yang mutashabihat.
Golongan ini mahu supaya ayat-ayat yang mutashabihat tidak dihurai. Mereka
hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks yang jelas dalam
al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat yang mutashabihat seperti nuzul (turun),
istiwak (bersemanyam), al-dhahaq (ketawa) dan lain-lain dengan tidak menyamakan
Allah dengan makhluk. Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan
masyarakat dengan huraian-huraian yang panjang mengenai dengan perkara-perkara
yang membawa kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam
perkara tawassul (mohon perantaraan), ziarah kubur dan sebagainya.
Mereka juga tegas menentang
penggunaan ilmu logik menyebabkan golongan salaf yang baru ini bergeser dengan
fahaman Asya’irah dan Maturidiah yang menjadikan ilmu logik sebagai sebahagian
daripada perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat
mutashabihat yang dilakukan oleh Asya’irah dan Maturidiah. Ibnu Taimiyah yang
hidup pada abad yang ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan mengemukakan
hujah-hujah melalui buku-buku yang karangannya.
Oleh kerana aliran ini dibawa
oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh
Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti
zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang
tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu
digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan
sebagainya.
Wahabiah
Fahaman Wahabi yang tersebar di
Arab Saudi dan beberapa daerah dalam dunia Islam ditaja oleh pemimpinnya Syeikh
Muhammad bin Abdul Wahab. Ia adalah kesinambungan daripada aliran salaf yang
dibawa oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab
mendapat kekuatan apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Saud.
Akhirnya, mereka berjaya
mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan beraja Arab
Saudi.
Fahaman Wahabi dengan tegasnya
mengemukakan dua prinsip yang penting iaitu tauhid yang bersih dari sebarang
syirik, dan menghalang sebarang bentuk bid’ah (ajaran baru). Halal dan haram
diambil terus daripada sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Sebarang
perkataan sarjana Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang
mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali dan
menganggap amalan ini membawa kepada syirik. Namun, hukum berbeza apabila
menziarahi kubur bagi tujuan mengambil pengajaran dan memperingati hari akhirat
bukannya dengan tujuan berdoa kepada si mati atau bertawassul melalui orang
yang sudah mati. Semasa mereka menguasai Mekah dan Madinah, mereka bertindak
merobohkan bangunan-bangunan yang didirikan atas kubur-kubur para sahabat, para
tabi’in dan tempat-tempat bersejarah yang dipuja secara melulu.
Mereka menentang perayaan seperti
maulid (sambutan hari lahir) dan sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi
Muhammad dan mengemukakan beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam
Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh
Muhammad Abduh di Mesir, Syeikh Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad
di Punjabi, India dan beberapa tempat lagi dunia Islam.
KESIMPULAN MAZHAB AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Kesemua mereka yang disebut di
atas adalah daripada golongan Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun terdapat
pertelingkahan dan perselisihan yang keras dan tajam antara satu sama lain,
namun pertelingkahan itu tidak tersasar daripada dasar-dasar akidah. Walau
bagaimanapun, ia boleh membawa kesan-kesan buruk dalam hubungan sesama umat
Islam. Perselisihan pendapat dan pentafsiran itu adalah perbezaan fahaman dalam
mentafsirkan teks yang sama dan kadang-kadang kerana perbezaan masa dan tempat
serta cabaran yang dihadapi dan keperluan hujah bagi menghadapi cabaran luaran.
Dengan kemudahan sumber-sumber
rujukan dan hubungan yang ada pada zaman ini menghidupkan semula persefahaman
sesama aliran. Pada masa yang sama ia tidak dihabiskan dengan pertelingkahan
sesama sendiri tetapi lebih memberi tumpuan bagi menghadapi masalah pokok yang
melanda umat Islam dan menentang musuh yang sebenarnya.
Sumber: Buku Fahaman
dan Ideologi Umat Islam oleh Abdul Hadi Awang
Harga: RM 23.00 / RM 26.00
ISBN-13: 978-983-192-210-1
ISBN-10: 983-192-210-7
Tarikh Terbit: 30 Nov 2007
Jumlah Muka Surat : 224
Tiada ulasan:
Catat Ulasan